Piala FA: JDT Tundukkan Penang, Jumpa Selangor Di Separuh Akhir
Piala FA
MakanBola
Johor Southern Tigers
Advertisements

Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan sebagai pasukan pilihan untuk mara ke separuh akhir Piala FA 2023. Ini selepas anak-anak buah Esteban Solari membelasah Penang 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) hari ini.

Seperti beberapa pasukan yang bertandang ke SSI sebelum ini, jurulatih Penang, Manzoor Azwira Abdul Wahid memilih pendekatan bertahan. Justeru, tidak hairanlah, sebaik sepak mula, pemain-pemain JDT berdepan kesukaran mencari ruang pertahanan Harimau Kumbang.

Advertisements

Tetapi kesungguhan Harimau Selatan mencari gol akhirnya membuahkan hasil menerusi gol sendiri Ousmane Fane pada minit ke-32. Gol tersebut memberi keyakinan kepada tuan rumah menggandakan asakan ke atas kubu Penang.

Enam minit kemudian, giliran kapten Indonesia, Jordi Amat pula mencipta nama sebagai penjaring. Amat memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gol pelawat sebelum menyepak kencang ke arah gawang yang dikawal Azfar Arif Sukri.

Advertisements

Dengan kelebihan 2-0 semasa rehat, JDT dilihat sudah selesa berada di depan. Tetapi tidak mahu pelawat mencipta kejutan pada separuh masa kedua, Solari mengarahkan anak-anak buahnya menggandakan asakan.

Dan itu yang berlaku pada minit ke-48 apabila sepakan penalti dianugerahkan kepada tuan rumah. Pemain sayap Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi tenang menewaskan Azfar bagi meletakkan JDT mendahului 3-0.

Advertisements

Derita Harimau Kumbang semakin bertambah apabila bek kiri Harimau Malaya, La’Vere Corbin-Ong menambah jaringan keempat tuan rumah pada minit ke-58. Syafiq Ahmad memastikan kemaraan JDT ke separuh akhir Piala FA 2023 menerusi gol kelima pada minit ke-92 selepas menerima hantaran Juan Muniz.

Menanti Harimau Selatan di separuh akhir Piala FA 2023 ialah Selangor. Dengan Merah Kuning masih dihantui kekalahan 5-0 di tangan JDT pada 17 Mac lalu, sudah pasti anak-anak buah Tan Cheng Hoe mahu membalas dendam terhadap anak-anak buah Solari itu.

Advertisements

Bagi Penang pula, kekalahan besar ini sudah pasti memeningkan kepala Manzoor lebih-lebih lagi menjelang perlawanan Liga Super seterusnya menentang JDT di Stadium Bandaraya pada 3 Jun. Sebarang strategi yang dirancang dalam perlawanan hari ini perlu ditambahbaik bagi memastikan kekalahan 5-0 ini tidak berulang di hadapan penyokong mereka sendiri.

News Comments Account