“Jangan terlalu hormat dan merendah diri,” itu peringatan oleh ketua jurulatih Manjung City FC, Rafae Isa kepada barisan pemainnya apabila mereka berdepan Kelantan dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Jumaat.
Rafae mengakui status sebagai kelab Liga Super dan dibimbing pula oleh Frank Bernhardt memberi kelebihan kepada Kelantan namun berpendapat tiada sebab untuk pemainnya berasa gentar.
Menurutnya, peluang mencipta kejutan dan meneruskan kemaraaan tetap ada andai pemain dapat mengambil kesempatan terhadap kemelut luar padang di kem Kelantan ketika ini serta bermain mengikut perancangan.
“Kita tahu Kelantan memang pasukan yang bagus dan melihat kepada situasi yang berlaku kepada Kelantan ketika ini mungkin akan ada sedikit kelebihan kepada kita juga.
“Tetapi daripada segi tahap prestasi, mereka memang ada kelebihan tersendiri dan saya juga tahu kemampuan yang ada pada Frank (Bernhardt).
“Beliau pernah membimbing pasukan kebangsaan (B-23) dan saya percaya mereka mesti ada strategi tertentu untuk mengatasi kita. Tetapi kita juga ada strategi tersendiri untuk mengekang mereka supaya tidak mudah untuk menghadapi kita nanti”, ujarnya.
Tambah Rafae, beliau juga telah membuat ‘homework’ analisa kekuatan dan kelemahan The Red Warriors dengan menonton perlawanan-perlawanan pasukan itu sebelum ini.
“Jika kita dapat mengekang asakan pemain import mereka, sudah tentu ia akan lebih seimbang dan mereka juga tidak akan mudah untuk atasi kita.
“Pemain saya sekarang dalam keadaan yang terbaik dan mereka tahu apa yang perlu dibuat sebab ada beberapa taktikal yang harus dilakukan daripada pelbagai aspek”, katanya lagi.