Piala FA: Kelantan City Enggan Amal Corak Bertahan
MakanBola
Kelantan City FC

Kelantan City FC tidak akan mengamalkan corak bertahan bila bertemu Negeri Sembilan FC dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA.

Hal ini dinyatakan jurulatih kelab Liga A1 Semi-Pro itu, Alfredo Gonzalez apabila ditanya tentang strategi Kelantan City menentang The Jangs.

Gonzalez yang pernah menjadi jurulatih dan pengarah teknikal Kelantan pada 2017 dan 2018 menyifatkan perkara itu tidak akan berlaku.

Meskipun mereka beraksi di Paroi sebagai pasukan pelawat, beliau mahu anak buahnya berusaha mencari peluang melancarkan serangan untuk menambah kelebihan agregat.

“Corak permainan kami pasti lebih kurang serupa. Kami akan cuba menguasai permainan dan kawalan bola. Namun, kami perlu tahu bilakah waktu terbaik untuk bertahan dan menyerang.

“Kami perlu kental bertahan (menyerap tekanan Negeri Sembilan) selain bijak mengambil kesempatan (untuk menjaringkan) gol.

“Tentang (sama ada Kelantan City akan gunakan) corak bertahan (semasa perlawanan), saya lebih gemar bermain jauh daripada gawang sendiri, cara itu lebih selamat,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Kelantan City memiliki kelebihan dua gol selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dalam aksi pertama di Kota Bharu. Kedua-dua pasukan bakal berentap buat kali kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi pada Selasa.