Kelantan Red Warrior menarik nafas lega selepas berjaya mengekang Kuching City untuk keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi Piala FA di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu pada Selasa malam.
Kedua-dua pasukan sebelum ini bertemu pada Sabtu lalu dalam saingan Liga Super di Paroi, dengan The Cats membelasah The Red Warrior 5-0.
Menjelang pertemuan kali ini, Kuching City pastinya mahu membawa bekalan kemenangan untuk aksi timbal balik nanti, manakala Kelantan Red Warrior mengintai peluang menebus kekecewaan selepas kekalahan besar tersebut.
Aidil Shahrin melakukan rombakan besar dalam kesebelasan Kuching City apabila sembilan perubahan dibuat berbanding aksi sebelumnya, dengan Ramadhan Saifullah dan Filemon Anyie antara dua pemain yang dikekalkan.
Di kem Kelantan Red Warrior pula, Irfan Bakti menaruh harapan kepada pengalaman Faiz Nasir, yang pernah menyarung jersi kebangsaan, manakala Wan Muhammad Harif diberi tanggungjawab menjaga gawang untuk penampilan sulungnya dalam Piala FA.
Kuching City mengawal permainan pada separuh masa pertama, tetapi Kelantan Red Warrior kekal berbahaya apabila cuba mencuri peluang menerusi serangan balas pantas.
Terikat 0-0 pada separuh masa pertama, Faiz Nasir hampir memecah kebuntuan pada minit ke-19, tetapi percubaannya tersasar di tepi gawang.
Separuh masa kedua bersambung dengan kedua-dua pasukan masih berusaha mencari gol pembukaan.
Kemasukan beberapa pemain termasuk Jerome Mpacko Etame tidak banyak mengubah rentak permainan, apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 hingga wisel penamat.
Fokus kedua-dua pasukan selepas ini beralih kepada saingan Liga Super, dengan Kelantan Red Warrior dijadual menentang Kuala Lumpur City pada 4 September, manakala Kuching City pula akan melayan kunjungan Sabah dalam pertembungan Borneo pada 5 September.