Piala FA: Negeri Sembilan Tersingkir Di Tangan Kelantan City
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala FA apabila disingkirkan Kelantan City FC 4-3 secara agregat.

Selepas tewas 2-0 dalam aksi pertama pusingan 16, anak buah Daniel Gimenez sedar mereka perlu bangkit dalam aksi kedua jika ingin menempah tiket ke suku akhir.

Sebaik wisel perlawanan ditiup, pasukan yang diberi jolokan The Jangs itu mula mengasak Kelantan City untuk memburu gol awal.

Penyerang Jepun, Yusuke Minagawa membuka tirai jaringan buat tuan rumah seawal minit kelima. Akhyar Rashid kemudiannya menggandakan kelebihan Negeri Sembilan pada minit ke-38.

Negeri Sembilan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Kelantan City kembali memperkemaskan rentak untuk mendapatkan semula kelebihan agregat.

Dardy Arbdallah kembali memulihkan kelebihan agregat pasukan Pantai Timur itu pada minit ke-53. Asraff Aliffuddin kemudiannya meledakkan gol jarak jauh seminit selepas itu untuk menjadikan kedudukan agregat 4-2.

Bek tengah Korea Selatan, Park Yi-young menyumbat gol ketiga Negeri Sembilan pada minit akhir perlawanan. Meskipun begitu, itu sudah terlambat untuk menghalang Kelantan City untuk mara ke suku akhir.

Keputusan ini menyaksikan Kelantan City ceria membawa cabaran Liga A1 Semi-Pro ke pusingan berikutnya.