Piala FA: Piala FA: Penalti Dramatik Brundo Bawa Sri Pahang Atasi Perak
Piala FA
Sri Pahang FC
Advertisements

Usaha Perak memburu kemenangan pertama musim ini terus tidak kesampaian. Ini selepas tuan rumah tewas kepada Sri Pahang 2-1 sekaligus melayakkan pasukan dari pantai timur itu mara ke pusingan kedua Piala FA.

Babak pertama menyaksikan tuan rumah banyak menguji barisan pertahanan skuad Tok Gajah . Bagaimanapun, kecekapan penjaga gol Perak, Bryan See Tian Keat diuji menerusi rembatan deras Sergio Aguero tetapi bola berjaya ditangkap kemas bekas penjaga gol Melaka United itu.

Peluang terbaik pasukan pelawat mendahului hadir menerusi Kpah Sherman pada minit ke-29. Tetapi hantaran yang dilorongkan kepadanya gagal ditolak bekas penyerang Terengganu itu ke dalam gawang.

Advertisements

Sebaliknya, Perak pula yang membuka tirai jaringan menerusi Christian Obiozor pada minit ke-34. Kombinasi dua pemain tengah Seladang berjaya melepasi kawalan pertahanan Sri Pahang sebelum melorongkan bola kepada Obiozor yang mudah menewaskan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan.

Sebelum rehat separuh masa, Obiozor sekali lagi mencemaskan pertahanan Sri Pahang dengan membuat satu rembatan lencong ke arah gol. Tetapi ia mudah diselamatkan Izham dengan kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Sri Pahang menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan dan hampir meraihnya menerusi sepakan jauh Stefano Brundo pada minit ke-46. Bagaimanapun, ia segera dinafikan Bryan yang melihat itu sebagai amaran kepada Perak untuk mendapatkan gol kedua dengan segera.

Fadhil Idris kemudiannya menguji kecekapan Izham menerusi satu sepakan percuma dari sebelah kiri gawang. Bagaimanapun, percubaannya pada minit ke-53 itu berjaya ditepis penjaga gol pinjaman Johor Darul Ta’zim itu.

Advertisements

Tetapi semua itu berubah apabila Perak kehilangan Haziq Puad akibat kecederaan. Mereka kemudiannya dipaksa bermain dengan 10 orang selepas Fadhil dibuang padang oleh pengadil.

Sri Pahang berusaha memanfaatkan kelebihan ini bagi memburu gol penyamaan. Nor Azam Azih hampir melakukannya pada minit ke-75 tetapi dia disekat oleh Bryan dengan percubaannya melambung tinggi.

Advertisements

Bagaimanapun, kesungguhan Sri Pahang akhirnya membuahkan hasil apabila Abdul Malik Mat Ariff menyamakan kedudukan pada minit ke-82. Ini memaksa Perak bertahan dengan harapan cuba mengheret perlawanan ke masa tambahan.

The Bos Gaurus terus cemas apabila Kpah berjaya melepasi pertahanan Perak sebelum melepaskan rembatan ke arah gol pada minit ke-87. Bagaimanapun, kombinasi Sunday Afolabi dan Raja Imran Shah memastikan gawang tuan rumah tidak dibolosi.

Tetapi hasrat anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim mengheret perlawanan ke masa tambahan tidak kesampaian. Ini selepas Sri Pahang dianugerahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Brundo pada minit akhir babak kedua sekaligus memberi kemenangan 2-1 kepada pelawat.

Kejayaan ini menyaksikan anak-anak buah Fandi Ahmad berdepan Selangor di pusingan kedua. Selepas seri 1-1 dalam perlawanan liga sebelum ini, sudah pasti Fandi tidak mahu pisang berbuah dua kali lagi.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram