Piala FA: Selangor Hampiri Separuh Akhir, Tewaskan Star City
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Star City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.

Kedua-dua pasukan bukan saja memburu bekalan untuk aksi timbal balik pada 11 Oktober. Selangor turut melihat aksi ini sebagai peluang melebarkan lagi rentak positif pasukan itu dalam semua kejohanan.

Douglas Oliveira bergandingan dengan Nur Azfar Fikri Azhar di bahagian serangan Star City. Chrigor Moraes, Vitor Pernambuco dan kapten, Faisal Halim membentuk gandingan serangan pelawat.

Separuh masa pertama menyaksikan Star City yang dibimbing legenda Selangor, Mehmet Durakovic berusaha mencari jaringan awal.

Kem tuan rumah ceria apabila bekas pemain tengah Kuching City FC, Moses Atede meledakkan gol pendahuluan pada minit ke-18.

Keceriaan Star City hanya bertahan selama tiga minit. Chrigor kemudiannya merobek gawang tuan rumah yang dikawal Farhan Abdul Majid untuk gol ke-10 beliau musim ini dalam semua kejohanan.

Selangor memastikan mereka mendahului 2-1 sehingga rehat separuh masa menerusi gol Pernambuco pada minit ke-43.

Bersambung selepas rehat, Selangor terus meningkatkan tekanan ke atas benteng Star City. Hal ini memaksa Rafael Vitor dan Noah Leddel bekerja keras membantu Farhan menyekat serangan pelawat.

Selangor terpaksa menunggu sehingga minit ke-61 untuk meraih gol ketiga menerusi Chrigor. Kesilapan Leddel mengawal bola pantas direbut bekas penyerang Buriram United itu sebelum menewaskan Farhan.

Kelebihan dua gol yang dimiliki Selangor mendorong jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon memasukkan A. Selvan, Peter Makrillos dan Mukhairi Ajmal sebagai pemain gantian.

Chrigor melengkapkan hatrik dengan meledakkan gol keempat pelawat pada minit ke-87. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor kini memiliki bekalan tiga gol untuk aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 11 Oktober ini. Keputusan ini juga menyaksikan pelawat menghampiri kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan rekod tanpa kalah dalam semua kejohanan.