Penyerang berbisa Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad hanya beraksi sebagai penonton ketika melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pemain berusia 29 tahun itu menyertai Sang Kenari sebagai tonggak pinjaman daripada skuad Harimau Selatan bagi musim 2024/25.
Beliau bagaimanapun difahamkan akan hanya duduk di bangku simpanan berdepan majikannya bagi aksi separuh akhir Piala FA 2024.
Perkara ini disahkan Kedah Darul Aman apabila bekas pemain kebangsaan itu tidak dapat beraksi menentang JDT di Darul Aman.
“Tanda tanya yang bermain ketika ini di minda penyokong, adakah kelibat Syafiq Ahmad akan bersama rakan sepasukan Sang Kenari malam esok dalam perlawanan Separuh Akhir 1 Piala FA 2024/25.
“Menghormati perjanjian pinjaman pemain penyerang prolifik dari JDT FC ini, antaranya terma untuk tidak beraksi menentang kelabnya sendiri iaitu JDT,” jelas KDA FC dalam satu kenyataan.
Syafiq ketika ini sudah meledak dua gol dalam 5 penampilan di Liga Super musim 2024/25 dan beraksi satu perlawanan Piala FA.
Aksi antara Kedah dan JDT bakal berlangsung pada 19 Julai 2024 jam 9 malam sementara perlawanan separuh akhir di Gong Badak melibatkan pertemuan antara Terengganu dan Selangor FC.