Saingan pusingan 16 terbaik Piala FA menyaksikan Terengganu FC telah merekodkan kehadiran tertinggi diikuti rapat oleh pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mencuri tumpuan apabila sekali lagi menundukkan Perak dengan keputusan 2-1.
Sebelum ini, aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah dibanjiri oleh belasan ribu penyokong ketika tuan rumah membenam The Bos Gaurus dalam aksi Liga Super dengan keputusan 3-1.
Kehadiran Piala FA bagi Terengganu mencatatkan jumlah kehadiran tertinggi iaitu seramai 20,150 orang diikuti oleh juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Harimau Selatan melangkah penuh bergaya ke peringkat suku akhir apabila menundukkan Kelantan DN dengan keputusan 4-0.
JDT berada di tangga kedua dengan rekod kehadiran tertinggi iaitu seramai 11,444 orang penyokong di Stadium Sultan Ibrahim.
Pertembungan antara Selangor dan Negeri Sembilan di Stadium MBPJ pula berada di tangga ketiga rekod kehadiran apabila dibanjiri seramai 9861 orang penyokong.
The Red Giants berjaya merakamkan kemenangan 4-0 untuk melangkah ke suku akhir bertemu Kuching City.
Venue lain menyaksikan Stadium Darul Aman dibanjiri seramai 5,436 orang penonton bagi bertemuan menentang Bukit Tambun sementara Stadium Temerloh dihadiri oleh 4480 penyokong bagi aksi Sri Pahang dan Penang FC.
Tiga venue bagaimanapun mencatatkan kehadiran terendah iaitu Sabah menentang KL Rovers (3900), KL City lawan Kuching City (309) dan juga PDRM menentang Malaysian University (119).
Saingan peringkat suku akhir dijadualkan berlangsung pada 28 Jun 2024 melibatkan pertembungan 8 pasukan terbaik kali ini.