Terengganu terpaksa bekerja keras dalam aksi suku akhir Piala FA 2023 sebelum menang 4-2 ke atas Kelantan hari ini. Kejayaan mara ke separuh akhir Piala FA lebih istimewa kerana aksi suku akhir ini ialah derby Pantai Timur membabitkan Terengganu dan Kelantan.
Dengan status sebagai pasukan pilihan dan tuan rumah, ramai percaya Terengganu tidak akan berdepan masalah menewaskan musuh tradisi Pantai . Sementara The Red Warriors (TRW) pula berharap dengan kemenangan hari ini mampu menjelmakan kebangkitan dalam saingan Liga Super pula.
Sebaik sepak mula, skuad Peteh mula melancarkan serangan ke arah kubu pertahanan Kelantan yang diketuai bek tengah Korea Selatan, Kim Min-gyu. Tetapi Terengganu terpaksa menunggu sehingga minit ke-17 menerusi kapten skuad B-23 negara, Azam Azmi Murad.
11 minit kemudian, Ivan Mamut menyangka telah meledakkan gol kedua buat tuan rumah. Bagaimanapun, penyerang Croatia itu hampa apabila golnya dibatalkan oleh pengadil selepas dia dikesan berada pada kedudukan ofsaid.
Tetapi Mamut menebus kehampaannya itu dengan meledakkan gol cantik pada minit ke-41. Begitupun, kelalaian pertahanan skuad Penyu mengeluarkan bola mengakibatkan mereka dihukum menerusi gol pelawat yang dijaringkan Ismahil Akinade pada minit ke-45.
Dengan keputusan 2-1 semasa rehat, Bernhardt tahu anak-anak buahnya perlu bangkit pada babak kedua. Sebaik wisel separuh masa kedua ditiup, Kelantan berusaha mencari gol penyamaan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Malangnya, barisan serangan TRW tumpul dalam menembusi gawang Terengganu yang dikawal Suhaimi Husin. Sebaliknya, Peteh menambah gol ketiga mereka menerusi Sony Norde pada minit ke-53.
Tetapi barisan pertahanan Terengganu seakan selesa dengan kelebihan yang dimiliki. Dan itu sekali lagi dihukum Kelantan apabila kapten Mario Arques dijatuhkan dalam kotak penalti.
Ismahil yang diberi amanah menyempurnakan sepakan penalti tenang menewaskan Suhaimi bagi menjadikan keputusan 3-2. Ini memaksa jentera serangan Terengganu melancarkan serangan bagi memulihkan kembali kelebihan dua gol mereka.
Dan itu berjaya dilakukan menerusi pemain gantian, Syafik Ismail pada minit ke-82. Syafik berjaya melarikan bola daripada kawalan Gerald Gadit sebelum melepaskan satu sepakan lencong yang kencang menewaskan penjaga gol TRW, Nik Mohd Amin Ahmad.
Kelantan cuba bangkit tetapi keputusan 4-2 kekal sehingga wisel penamat. Terengganu kini bakal menunggu pemenang perlawanan suku akhir antara KL City dan Sabah bagi menentukan siapa lawan di pentas separuh akhir.