Piala Malaysia: Hasrat ‘Balun’ JDT Tak Jadi, Kedah Tewas Di SSI
Dunia
johor southern tigers
Advertisements

Perlawanan suku akhir kedua yang menemukan tuan rumah Johor Darul Ta’zim yang melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC berkahir dengan kemenangan berpihak kepada tuan rumah, JDT dengan keputusan 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.

JDT mendapat peluang terbaik melalui sepakan percuma Leandro Velazquez seawal minit ke-2 namun sepakannya berjaya ditumbuk oleh Shahril Saa’ri. De Paula juga berpeluang mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-9, namun rembatannya meliar.

Dominasi jelas kelihatan oleh pasukan JDT dengan saling bertukar hantaran-hantaran pendek yang tepat manakala barisan pemain Kedah dilihat bertahan dengan penuh berdisiplin dan menanti waktu terbaik untuk melancarkan serangan balas.

Advertisements

Pada minit ke-32, Gonzalo Cabrera hampir memberikan pendahuluan kepada JDT selepas beliau menerima hantaran cantik dari Arif Aiman, namun rembatan beliau berjaya ditepis dengan cemerlang oleh Shahril di gawang Kedah.

Selepas siri serangan yang diatur oleh pasukan JDT, akhirnya pada minit ke-40, pemain muda meningkat naik JDT, Arif Aiman memberikan pendahuluan buat pasukan tuan rumah. Segalanya bermula dari Leandro Velazquez yang memberikan satu hantaran ‘no look pass’ yang menarik lalu mendapatkan Arif yang lolos dari kawalan Ariff Farhan dan tanpa menunggu lama merembat deras untuk menjadikan keputusan 1-0 memihak JDT.

JDT tidak terhenti di situ apabila Guilherme de Paula hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-44 namun rembatan jarak dekat hasil hantaran Nazmi Faiz berjaya diselamatkan Shahril dengan begitu baik.

Advertisements

Separuh masa pertama tamat dengan JDT mendahului Kedah 1-0.

Bersambung babak kedua, pasukan JDT meneruskan dominasi dengan kawalan bola yang baik. JDT tidak menunggu lama untuk mengasak gawang Kedah apabila pada minit ke-49, Arif Aiman sekali lagi melepasi kawalan Ariff Farhan dan melakukan rembatan namun membias dan ditangkap mudah oleh Shahril.

JDT mendapat peluang terbaik untuk menambah jaringan pada minit ke-51 sekali lagi melalui Arif Aiman, namun rembatan kaki kirinya berjaya ditepis penjaga gol.

Advertisements

Pasukan Kedah mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-56 melalui sepakan percuma Fadzrul Danel namun sepakannya berjaya diselamatkan oleh Farizal Marlias.

Leandro Velazquez hampir menjarakkan kedudukan buat JDT namun rembatannya melalui sepakan percuma berjaya ditepis oleh Shahril. Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Kedah, Shahril Saa’ri apabila deretan percubaan oleh pasukan JDT berjaya diselamatkan oleh beliau dengan begitu cemerlang sekali.

Pada minit ke-70, JDT mempunyai peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan melalui Natxo Insa namun rembatannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar ke kanan gawang Kedah.

Advertisements

Barisan pemain Kedah dilihat sangat bergelut untuk melepaskan percubaan ke arah gol JDT selepas dikawal rapi pemain-pemain JDT.

Pada minit ke-84, JDT dihadiahkan sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti. Namun, Safawi yang mengambil sepakan itu tidak dapat memanfaatkan peluang apabila rembatannya tersasar.

Afiq Fazail hampir mengejutkan Shahril di gawang Kedah pada minit ke-92 melalui rembatan jarak jauh namun ianya jauh meliar ke sisi kanan gawang. Perlawanan tamat dengan kemenangan berpihak kepada JDT 1-0.

Dengan kemenangan ini, membolehkan pasukan JDT ke peringkat separuh akhir dengan agregat 1-0 dan menanti mereka di separuh akhir ialah pasukan dari pantai timur iaitu Terengganu FC.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram