Piala Malaysia: JDT, Terengganu Terikat Di Gong Badak
Dunia
johor southern tigers
Advertisements

Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah diikat oleh tuan rumah Terengganu FC dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi. Gol Terengganu dijaringkan Jordan Mintah manakala gol JDT dijaringkan oleh Bergson.

Perlawanan dimulakan oleh Terengganu dengan gerakan-gerakan positif dan seawal minit ke-2, mereka dihadiahkan sepakan percuma selepas Shahrul Saad mengasari Jordan Mintah betul-betul di luar kotak penalti namun sepakan percuma yang diambil oleh Lee Tuck melambung tinggi.

Pada minit ke-7, Terengganu akhirnya memecah kebuntuan melalui Jordan Mintah. Segalanya bermula bermula dari gerakan Lee Tuck yang berjaya melepasi kawalan Matthew Davies lalu melakukan hantaran kepada Jordan Mintah. Mintah yang tidak dikawal mudah menanduk masuk menewaskan Farizal Marlias.

Advertisements

Selepas gol tersebut, perlawanan dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan sering mengatur gerakan dan juga beberapa insiden kekasaran dilihat kerap berlaku namun pengadil perlawanan bijak mengawal keadaan.

Arif Aiman hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-28 namun rembatan derasnya di dalam kotak penalti berjaya diselamatkan Suhaimi Husin di gawang Terengganu.

Pada minit ke-40, peluang hadir lagi buat JDT namun rembatan jarak dekat Bergson sekali lagi diselamatkan dengan cemerlang oleh Suhaimi.

Advertisements

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan Terengganu mendahului JDT 1-0.

Bersambung babak kedua, pasukan JDT menguasai perlawanan dengan variasi hantaran pendek. Akhirnya pada minit ke-50 JDT berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerang berbisa mereka, Bergson. Bergson yang menerima hantaran pendek dari Arif Aiman mudah melepasi dua pertahanan Terengganu dan merembat leret untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1.

JDT dilihat terus menguasai perlawanan manakala Terengganu dilihat hilang rentak dan tidak seperti corak permainan di separuh masa pertama.

Advertisements

Pada minit ke-58, Cabrera hampir menjaringkan gol kedua JDT namun rembatan jarak dekat beliau sedikit tersasar ke kiri gawang Terengganu.

Jordan Mintah mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-63 namun tandukannya berjaya ditangkap oleh Farizal Marlias.

Situasi agak tegang pada minit ke-71 apabila pemain pertahanan JDT, Shane Lowry bertindak agresif terhadap Jordan Mintah dan Suhaimi Husin. Namun pengadil sekali lagi bertindak dengan pantas mengawal keadaan.

Advertisements

Perlawanan dilihat terus dikuasai oleh pemain-pemain JDT namun tiada tambahan gol mahupun percubaan merbahaya yang berjaya dicipta oleh pemain kedua-dua pasukan. Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan seri ini, pasukan JDT dilihat mempunyai kelebihan kerana berjaya membawa satu gol di tempat lawan. Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi pada 26 November ini untuk perlawanan separuh akhir kedua yang akan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram