Piala Malaysia: Selangor FC Angkuh, Benam Kuching City Di Laman Sendiri
Dunia
Selangor FC
Advertisements

Selangor FC hari ini turun sebagai tuan rumah apabila menerima kunjungan Kuching City FC bagi aksi Piala Malaysia 2021 saingan kumpulan B di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Selangor berjaya mengukuhkan kedudukan apabila menang keatas Kuching City FC, 5-1.

Selangor FC bermula garang apabila berjaya membuka akaun jaringan pada minit pertama permainan. Keadaan kucar kacir di bahagian pertahanan Kuching City telah dimanfaatkan Htet Aung sebaik mungkin apabila berjaya melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol lawan.

Permainan semakin rancak apabila pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pertahanan Selangor, Shivan Pillay. Pemain import Kuching City, Ijezie berjaya menewaskan Khairul Azhan Khalid sekaligus menyamakan kedudukan, 1-1.

Advertisements

Kedua-dua pasukan dilihat cuba untuk mencari gol-gol tambahan melalui gerakan-gerakan cantik. Namun babak pertama perlawanan tamat dengan keputusan 1-1.

Separuh masa kedua dilihat pasukan Kuching City masih belum mendapat rentak terbaik apabila pengawalan bola yang lebih baik ditampilkan pemain-pemain tengah tuan rumah. Kuching City seolah hilang idea untuk membolosi benteng pertahanan Selangor FC.

Ketiadaan penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olesugon yang mengalami kecederaan pada perlawanan persahabatan tempoh hari tidak merencatkan corak serangan The Red Giant apabila skuad kendalian Karsten Neitzel itu mempertaruhkan Ahmad Danial Asri dibahagian serangan

Advertisements

Khidmat penyerang muda ini nyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya menghukum kesilapan penjaga gol Kuching City, Iqbal pada minit ke-58. Gol tersebut sekaligus meletakkan Selangor FC mendahului dihadapan 2-1.

Asakan keras kapten Kuching City FC, Mazwandy pada minit ke-64 telah memberikan sepakan penalti buat pasukan Merah Kuning. Safwan Baharudin mudah menyempurnakan sepakan penalti dan Selangor kukuh mendahului 3-1 dihadapan.

Pada minit ke-71 permainan, kelibat yang dirindui, Shahrel Fikri dibawa masuk. Tampil dengan sosok tubuh yang berbeza, kemasukan Shahrel berjaya membantu Selangor FC mendapat gol keempat. Ahmad Danial Asri sekali lagi menewaskan Iqbal dengan satu rembatan kencang pada minit ke-80 permainan.

Advertisements

Sebelum tamat perlawanan, pemain gantian, Sean Selvaraj berjaya menjaringkan gol kelima buat Selangor FC pada minit ke-93 permainan. Beliau berjaya menanduk kemas bola hasil hantaran rakan sepasukannya.

Selangor FC kini menduduki tempat kedua dalam saingan kumpulan B selepas tiga perlawanan. Perlawanan malam ini tamat, Selangor FC 5-1 Kuching City FC.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram