Advertisements
Piala Menteri Wilayah: KL City Muncul Juara Atasi Perak
Dunia
MakanBola
Perak Football Club

Trofi Piala Menteri Wilayah Persekutuan kini secara sah menjadi milik KL City.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Cheras hari ini menyaksikan pasukan KL City berjaya menewaskan Perak dengan keputusan 3-0.

Separuh masa pertama perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan cuba mencari rentak permainan. Pasukan Perak di bawah kendalian Lim Teong Kim dilihat lebih agresif di transisi menyerang. Beberapa gerakan Perak bagaimanapun berjaya disekat benteng pertahanan KL City.

Pada minit ke-33 permainan, awang import baru KL City Herlison Caion memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti. Sepakan penalti tersebut dihadiahkan pengadil setelah pertahanan Perak dikesan mengasari Romel Morales. Herlison Caion tenang menyumbat masuk bola menewaskan penjaga gol Perak, Brian See.

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0.

Bersambung babak kedua permainan, kapten pasukan KL City, Paulo Josue mencatat nama sebagai penjaring. Beliau menyudahkan dengan baik hantaran Romel Morales pada minit ke-52 perlawanan sekaligus meletakkan KL City terus selesa di hadapan.

Anak buah kendalian Bojan Hodak terus mengukuhkan cengkaman menerusi tandukan padu Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-74 perlawanan. Hantaran cantik daripada Paulo Josue disudahkan cemerlang pertahanan dari Australia tersebut.

Seramai 7200 orang telah hadir memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing. The City Boys meranapkan harapan penyokong Perak yang mahu melihat skuad seladang ini mencatat kemenangan. KL City cemerlang menewaskan Perak dengan keputusan 3-0.

Untuk makluman, Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 ini merupakan edisi ketiga kejohanan ini diadakan. Acara ini menjadi salah satu persedian terbaik pra-musim buat City Boys sebelum kempen Liga Malaysia bermula.

Edisi pertama Piala Menteri Wilayah menyaksikan pasukan Selangor berjaya menyandang gelaran juara apabila menang dalam penentuan sepakan penalti mengatasi KL City. Negeri Sembilan pula muncul juara pada edisi 2022 setelah menang dengan keputusan 2-0.

Tahun 2023, piala ini pulang ke Cheras, menjadi milik Kuala Lumpur City.