Johor Darul Ta’zim II (JDTII) semakin unggul di puncak carta Piala MFL selepas membenam pasukan di tangga tercorot, Sabah FC II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada Rabu.
JDT II yang dibimbing Juan Miguel Munoz Rodriguez membariskan pemain-pemain muda berkualiti seperti G. Pavithran, Alif Mutalib dan Ziad El Basheer di kesebelasan utama manakala Gabriel Nistelrooy menjadi harapan untuk meledak jaringan.
Skuad Sabah turut menurunkan barisan terkuat dengan bekas pemain bawah 23 tahun negara, R. Dinesh juga diturunkan bagi memperkuatkan barisan pertahanan.
Perlawanan dimulakan dengan JDT II menguasai perlawanan dan memaksa Sabah lebih menekankan fokus untuk bertahan.
Namun kekebalan benteng kedua-dua pasukan telah menafikan jaringan dihasilkan pada babak pertama sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, JDT II memperkemaskan corak permainan dengan gerak serangan yang lebih teratur.
Hasilnya, penyerang berbisa JDT II, Gabriel Nistelrooy berjaya meletakkan JDT II di hadapan pada minit ke-70 untuk memberi pendahuluan buat JDT 1-0 di hadapan.
Sabah cuba bangkit dengan permainan lebih tersusun namun kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat permainan sekali gus memberikan tiga mata berharga buat JDT II.
Dengan kemenangan itu, JDT II kembali menjarakkan kedudukan dengan pasukan di tangga kedua, Selangor FC kepada tiga mata.