Johor Darul Ta’zim (JDT) II terus memperkukuh cengkaman ke atas takhta pendahulu Piala MFL 2024/25 dengan membelasah Sri Pahang FC di Temerloh.
JDT II mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Sabah FC II pada 6 November lalu. Manakala Sri Pahang pula mahu bangkit mendapatkan kemenangan selepas diikat 3-3 dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 28 Oktober lalu.
Penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy terus menjadi sandaran gol pengendali JDT II, Juan Miguel Munoz Rodriguez. Manakala Asnan Ahmad mengetuai cabaran skuad muda Tok Gajah.
JDT II berusaha mencari gol pembukaan sebaik wisel perlawanan ditiup menerusi Nistelrooy dan Danish Syamer Tajuddin.
Ini memaksa barisan pertahanan Sri Pahang diketuai Ashar Al Aafiz Abdullah bekerja keras mematahkan setiap gerakan serangan ke arah kubu pertahanan mereka.
JDT II kemudiannya terpaksa melakukan pertukaran awal pada minit ke-38. Munoz Rodriguez terpaksa mengeluarkan pemain tengah skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Najmuddin Akmal Kamal Akmal dan memasukkan Alif Abdul Mutalib sebagai pengganti.
Alif membalas kepercayaan jurulatih Sepanyol itu dengan meletakkan Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-43. Dua minit kemudian, giliran Alif Ahmad pula menggandakan kelebihan JDT II.
Dua gol tersebut memastikan JDT memiliki kelebihan selesa ke atas tuan rumah sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Sri Pahang cuba meningkatkan serangan dengan harapan dapat mengubah kembali momentum permainan tetapi tidak berhasil.
Situasi ini mendorong jurulatih skuad muda Tok Gajah, Yazeed Hamzah membuat dua pertukaran. Beliau memasukkan Nik Alif Hakimie Nik Soh dan Azrul Haikal Ramlee.
Sementara Munoz Rodriguez pula menambah kreativiti di bahagian tengah dengan memasukkan Daryl Sham menggantikan Chia Ruo Han.
Tatkala Sri Pahang terus menggiatkan serangan, JDT II makin dominan dengan gol ketiga menerusi Nistelrooy pada minit ke-77. Gol Daryl Sham pada minit ke-95 memastikan pasukan itu mendahului 4-0.
Gol lewat Nik Alif Hakimie untuk Tok Gajah sudah terlewat untuk menghalang JDT II meraih kemenangan 4-1 pada akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan JDT II terus menerajui carta liga Piala MFL dengan 33 mata, enam mata di hadapan Selangor FC. Manakala Sri Pahang pula kekal di tangga keempat dengan 21 mata.
Selepas ini, skuad muda Harimau Selatan akan menentang Negeri Sembilan FC di Pasir Gudang pada 26 November. Manakala skuad muda Tok Gajah pula bakal menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada hari yang sama.