Piala MFL: KL City & JDT Sama Kuat

JDT II KL City Extension Johor Southern Tigers Piala MFL: KL City & JDT Sama Kuat
Johor Southern Tigers
Azim Noor @mohdazim45
7:23pm 14/10/2023

Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II berjaya merampas kedudukan pendahulu Liga Juara Piala MFL biarpun diikat 1-1 dengan KL City FC Extension.

JDT II memerlukan kemenangan hari ini bagi membolehkan mereka merampas kedudukan pendahulu Liga Juara Piala MFL daripada Terengganu FC II.

Sementara KL City Extension pula mengintai kedudukan keempat liga yang ketika ini dihuni Perak FC II.

Begitupun, Harimau Selatan berdepan tugas sukar kerana The City Boys menurunkan penyerang import mereka dari skuad senior, Tchetche Kipre.

Justeru, tidak hairanlah pada awalnya, tuan rumah berusaha mencari peluang menembusi gawang yang dikawal Haziq Nadzli tetapi gagal.

Sebaliknya, Daryl menceriakan kem JDT II dengan menanduk hantaran sepakan sudut pada minit ke-24.

KL City Extension cuba bangkit tetapi barisan pertahanan Harimau Selatan diketuai Adam Nor Azlin memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, The City Boys menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan.

Kesungguhan anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail membuahkan hasil apabila Muhammad Mohd Fauzi menanduk deras bola melepasi jangkauan Haziq pada minit ke-55.

Seakan mendapat tonik tambahan, KL City Extension terus meningkatkan asakan terhadap anak-anak buah Mariano Echevarria itu.

Kedua-dua pasukan kemudiannya membuat pertukaran dengan harapan dapat mencari gol kemenangan. Namun begitu, keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Biarpun bergelar pendahulu, kedudukan JDT II boleh berubah sekiranya Terengganu II mengalahkan PDRM FC esok.