Usaha Terengganu FC II memburu kelompok dua teratas Piala MFL terbantut apabila tewas kepada Negeri Sembilan FC di Stadium Mini Tampin.
Skuad Peteh yang dibimbing Haris Safwan Kamal berharap dapat menambah satu lagi kemenangan selepas menewaskan Sabah FC II 3-0.
Sementara skuad Sang Rusa yang dibimbing Ishak Kunju Mohamad pula mahu kembali mendapat kemenangan selepas diikat 1-1 dengan Sabah II.
Tanpa kelibat penjaring terbanyak mereka, Chukwu Nnabuike Chijioke, Terengganu II menurunkan Danial Shafik Mohamad dan Aqil Idham Bahari sebagai peledak gol. Manakala Negeri Sembilan pula mempertaruhkan Amirul Hakimi Rosli dan Khairol Izham Aluwi sebagai sandaran gol.
Tuan rumah tidak gentar dengan cabaran juara Piala MFL 2023 itu. Sebaik sepak mula, Amirul Hakimi dan Khairol Izham kerap menguji barisan pertahanan Peteh diketuai Syafiq Danial Mohd Romzi.
Kecekapan penjaga gol Terengganu II, Nazul Izamil Zulkifli memaksa Sang Rusa perlu menunggu sehingga minit ke-43 untuk mendapatkan gol menerusi Afiq Fitri Mohd Jefry.
Gol tersebut memastikan Negeri Sembilan memiliki kelebihan 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Terengganu II berusaha memberi tekanan ke atas kubu tuan rumah tetapi tidak berhasil.
Keadaan ini mendorong Haris Safwan memasukkan Adli Abd Rahman dan Rizuan Muda untuk mengubah momentum perlawanan tetapi tidak berhasil.
Negeri Sembilan terus memberi tekanan ke atas Terengganu II untuk menggandakan jaringan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Sang Rusa menduduki tangga keenam Piala MFL meskipun berkongsi 20 mata dengan Peteh. Ini kerana Terengganu II memiliki kelebihan jaringan yang besar.
Selepas ini, Negeri Sembilan bakal menentang Kuching City FC pada 9 November. Sementara Terengganu II pula berdepan PDRM FC di Stadium Selayang pada 10 November ini.