Impian Selangor FC untuk kembali merampas takhta pendahulu Piala MFL dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II gagal apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Perak FC II.
Selepas JDT II menewaskan Kuching City FC 3-0, Selangor berpeluang merampas takhta liga dengan syarat menang ke atas skuad muda The Bos Gaurus. Manakala Perak II pula mahu bangkit selepas tewas kepada Negeri Sembilan FC pada 17 September lalu.
Selangor diperkuat beberapa pemain skuad senior termasuk V. Ruventhiran dan penjaga gol, Samuel Somerville. Manakala pemain import Korea Selatan, Lee Tae-min berada dalam senarai pemain simpanan Perak II.
Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah kerap melancarkan serangan ke atas kubu Merah Kuning menerusi penyerang, Alif Zikri Zaini Anuar.
Keadaan ini memaksa barisan pertahanan pelawat diketuai kapten, Raimi Shamsul bekerja keras menangkis setiap percubaan yang diusahakan Perak II.
Percubaan terbaik skuad muda The Bos Gaurus hadir menerusi Adli Ahmad pada minit ke-38 tetapi rembatan jarak jauhnya berjaya diselamatkan Somerville.
Kedua-dua pasukan terus buntu mencipta jaringan dan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada separuh masa kedua, jurulatih Selangor, Abdifitaah Mohamed Hassan memasukkan Ahmad Azeem Izhar Ahmad Rizal menggantikan Somerville.
Manakala jurulatih Perak II, Chan Wing Hoong pula memasukkan Tae-min menggantikan Amirul Aiman Nasaruddin. Ini penampilan pertama pemain Korea Selatan itu selepas berehat selama beberapa bulan akibat kecederaan buku lali.
Abdifitaah memasukkan S. Devesshraja, Roshisham Haiqal Hashim dan Muhammad Aiman Yusuf untuk membantu Selangor mendapatkan jaringan kemenangan.
Tae-min hampir menjaringkan gol kemenangan buat Perak pada minit ke-91. Malangnya, percubaan beliau berjaya disekat Ahmad Azeem Izhar sebelum menuju ke arah gawang Selangor.
Kedua-dua pasukan terus berusaha memburu gol kemenangan tetapi The Bos Gaurus dan Merah Kuning terpaksa berpuas hati dengan satu mata pada akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor hanya ketinggalan satu mata di belakang JDT II. Manakala Perak kekal di tangga kelapan liga dengan 10 mata.
Selepas ini, Merah Kuning bakal berdepan Negeri Sembilan pada 4 Oktober ini. Manakala The Bos Gaurus pula bertandang ke Stadium Darul Aman untuk menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B pada hari yang sama.