Selangor FC merekodkan kemenangan ketiga dalam Liga Juara Piala MFL dengan membelasah musuh setempat dari Lembah Klang, KL City FC Extension 4-1 hari ini.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi kemenangan berbeza. Selangor berharap dapat meraih kemenangan agar dapat memintas PDRM FC di tangga keempat.
Sementara KL City pula melihat kemenangan ini mampu memintas Merah Kuning yang menduduki tangga kelima liga.
Babak pertama menyaksikan dominasi Selangor di Stadium UiTM, Shah Alam. Penyerang import dari Ghana, Rauf Salifu membuka tirai jaringan pada minit ke-16.
Anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail semakin ketinggalan apabila Syahir Bashah meledakkan gol kedua pada minit ke-33. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, The City Boys berusaha merapatkan jurang dengan tuan rumah.
Hasilnya, mereka berjaya merapatkan jurang menerusi Alif Safwan Mohd Sallahuddin pada minit ke-62.
Begitupun, keceriaan pelawat tidak bertahan lama apabila Amirul Izwan Mamad Rusdi melepaskan rembatan kencang pada minit ke-66 yang menewaskan penjaga gol, Azim Al Amin Kamaruddin.
Salifu memastikan KL City pulang hampa dengan gol keempat menerusi sepakan penalti pada minit akhir perlawanan.
Kemenangan 4-1 ini membolehkan Selangor memintas PDRM FC buat sementara waktu. Begitupun, kedudukan ini boleh berubah sekiranya mereka menewaskan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II malam ini.