Selangor FC bangkit daripada ketinggalan sebelum membelasah Sri Pahang FC 4-1 dalam aksi terbaru Piala MFL.
Merah Kuning yang dibimbing Abdifitaah Hassan mahu meneruskan rekod tanpa kalah yang dilakar sejak 22 Oktober 2024. Tok Gajah pula mahu menambah satu lagi kemenangan selepas menewaskan PDRM FC 1-0.
Zikri Khalili dan Azim Al Amin Kamaruddin dipilih untuk membantu skuad Piala MFL Selangor. Pemain tengah, Asnan Ahmad pula menyuntik pengalaman dalam skuad Sri Pahang yang dibimbing Yazeed Hamzah.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol pendahuluan di Stadium UiTM.
Rohisyam Haikal menyangka telah meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-21. Malangnya, gol tersebut dibatalkan kerana beliau berada pada kedudukan ofsaid.
Sebaliknya, Sri Pahang terlebih dahulu di hadapan menerusi Airiel Zafran Mohd Azrul. Tandukan padunya menerjah penjuru atas gawang Merah Kuning.
Keceriaan kem Tok Gajah tidak bertahan lama apabila Haykal Danish Mohd Haizon meledakkan sepakan percuma pada minit ke-25. Sepakan percuma beliau pantas menerjah jaring gawang Sri Pahang yang dikawal Adli Zaquan Roslan.
Tujuh minit selepas itu, Abdul Rahman Daud mencetak nama sebagai penjaring. Rahman menyudahkan hantaran Haykal untuk meletakkan Selangor di hadapan.
Sri Pahang berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada separuh masa kedua, Selangor dan Sri Pahang masing-masing melakukan pertukaran pemain.
Abdifitaah memasukkan Harry Danish Mohd Haizon menggantikan Haykal Danish. Yazeed pula memasukkan Iqmal Ramlan dan Fitri Aziq Wahid untuk memantapkan barisan Sri Pahang.
Tok Gajah makin derita apabila kapten Selangor, Raimi Shamsul menyempurnakan sepakan percuma yang terkena palang sebelum menerjah jaring pada minit ke-65.
Harry Danish melengkapkan pesta gol Selangor dengan gol keempat pada minit ke-85. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 43 mata. Ini disebabkan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) II meraih kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B.
Sri Pahang pula kekal di tangga kelima liga dengan 29 mata. Ini selepas pencabar terdekat, Perak FC II tewas kepada PDRM.
Selepas ini, Merah Kuning bakal berdepan PDRM pada 3 Februari. Tok Gajah pula akan menentang Kedah B pada hari yang sama.