Hajat Selangor FC kembali berada di puncak liga Piala MFL tercapai apabila menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Selangor berpeluang memintas pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) II sekiranya berjaya menewaskan skuad muda Sang Rusa. Negeri Sembilan pula mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Perak FC II 2-0.
Azim Al Amin Kamaruddin terus dipilih mengawal gawang Selangor. Bekas pemain sayap KL City FC, Hadin Azman mengetuai jentera serangan Negeri Sembilan.
Separuh masa pertama menyaksikan Selangor berusaha memberi tekanan kepada tuan rumah menerusi penjaring terbanyak mereka, Abdul Rahman Daud.
Situasi ini menyebabkan barisan pertahanan Sang Rusa diketuai R. Aroon Kumar terpaksa bekerja keras mematahkan setiap ancaman serangan pelawat.
Usaha terbaik Selangor hadir menerusi Danish Irfan Ezal pada minit ke-40 tetapi dinafikan Haziq Fitri Nek Lah. Haziq turut bertindak cemerlang menafikan percubaan susulan Aliff Izwan Yuslan.
Kedua-dua pasukan terus bersaing memburu gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, pengendali Negeri Sembilan, Ishak Kunju Mohamad memasukkan A. Saranraj dan Haiqal Danish Khairu Nizam untuk mengubah momentum perlawanan.
Malangnya, perubahan momentum yang dicari Sang Rusa tidak berlaku. Sebaliknya, Selangor mendahului menerusi Izrin Ibrahim pada minit ke-54.
Merah Kuning hampir menggandakan jaringan 15 minit selepas itu menerusi Rohisham Haiqal. Meskipun berjaya melepasi pertahanan Negeri Sembilan, percubaannya dinafikan Haziq.
Sang Rusa kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Fitri Maskon. Ini selepas bola hantaran tuan rumah terkena tangan pertahanan Selangor, Afiq Danish Hasniruddin.
Keputusan Fitri cuba dibantah pemain-pemain Selangor tetapi ditolak oleh beliau. Kapten Hariz Kamaruddin memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Negeri Sembilan cemas apabila giliran Selangor pula dianugerahkan sepakan penalti. Ini selepas Izzafiq Ruzi didakwa menjatuhkan Rohisham dalam kotak penalti.
Penalti yang diambil Haykal Danish Mohd Haizon berjaya dinafikan Haziq. Belum sempat kem Sang Rusa bersorak ceria, Haykal dijatuhkan Hariz dalam kotak penalti.
Harry Danish Mohd Haizon memastikan tiga mata menjadi milik Selangor dengan menewaskan Haziq pada minit akhir permainan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor merampas tampuk pendahulu daripada JDT II dengan 46 mata. Negeri Sembilan pula kekal di tangga kelapan dengan 26 mata.
Selepas ini, Selangor akan menentang Perak II pada 18 Februari. Sang Rusa pula akan berehat kerana tiada perlawanan membabitkan mereka untuk baki bulan Februari.