Terengganu FC II terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Kuching City FC dalam aksi terbaru Piala MFL 2024/25.
Skuad muda Peteh ingin kembali meraih kemenangan selepas diikat 2-2 oleh skuad Penang FC II. Manakala The Cats pula mahu menamatkan kemarau kemenangan selepas kali terakhir melakukannya pada 1 Julai lalu.
Separuh masa pertama menyaksikan Terengganu II yang dibimbing Haris Safwan Kamal tampil garang untuk mendapatkan gol awal.
Meskipun beraksi di gelanggang lawan, Peteh membuka tirai jaringan menerusi Engku Shakir Engku Yaacob pada minit ke-16. Tersentak, Kuching City cuba bangkit mencari gol penyamaan.
Malangnya, gawang tuan rumah yang dikawal Syafie Mursalim bocor lagi buat kali kedua menerusi Daniel Shafik Mohamad.
Ketajaman jentera serangan Terengganu II memastikan pelawat mendahului 2-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, skuad muda Kuching City yang dibimbing Oleg Kuzmaniok tampil lebih garang untuk merapatkan jurang gol.
Cornelius Ornley Jina menceriakan penyokong di Stadium Negeri, Kuching apabila meledakkan gol pertama The Cats pada minit ke-49.
Keceriaan kem tuan rumah tidak bertahan lama apabila Syahmi Zamri menyumbat gol ketiga Terengganu II pada minit ke-58. Cornelius menyumbat gol keduanya musim ini pada minit ke-62 bagi menjadikan kedudukan 3-2.
Kuzmaniok kemudiannya membuat beberapa pertukaran dengan harapan Kuching City dapat meraih gol penyamaan. Malangnya, gol yang dicari tidak muncul dan keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu kekal di tangga keenam dengan 17 mata, satu mata di belakang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC). Manakala Kuching City kekal di tangga ke-12 liga dengan lima mata.
Selepas ini, Kuching City akan menentang Perak FC II pada 22 Oktober ini. Manakala Terengganu II pula akan menentang Sabah FC II pada 23 Oktober.