Piala Negara-Negara: Malaysia Kejutkan Afrika Selatan
UltraSukan
MHC

Malaysia melupakan kekecewaan di peringkat kumpulan dengan menewaskan Afrika Selatan dalam pusingan crossover Piala Negara-Negara 2025.

Meskipun berjaya menewaskan Jepun 2-1, itu tidak cukup untuk membawa skuad negara ke separuh akhir. Justeru, tempat kelima menjadi sasaran The Speedy Tigers.

Norsyafiq Sumantri, Azrai Azad Abu Kamal dan Akhimullah Anuar Esook terus menjadi sandaran gol Sarjit Singh. Calvin Davis mengetuai cabaran Afrika Selatan.

Malaysia hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Syed Syafiq Syed Cholan. Malangnya, pukulan deras beliau berjaya dikeluarkan pertahanan Afrika Selatan.

Gol pendahuluan yang dicari-cari Malaysia muncul pada minit ke-15. Syed Syafiq menyempurnakan pukulan penalti yang menewaskan penjaga gol Afrika Selatan, Hendrik Kriek.

Kem Afrika Selatan ceria apabila Angelo Walstroom menyamakan kedudukan pada minit akhir suku kedua.

Walstroom berjaya melepasi dua pemain pertahanan The Speedy Tigers sebelum menewaskan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, kem Malaysia kembali memperkemaskan rentak dan terus menguji barisan pertahanan Afrika Selatan.

Penyokong Malaysia di Stadium Hoki Bukit Jalil bersorak gembira apabila Shafiq Hassan menyumbat gol kedua pada minit ke-37.

Dua minit kemudian, giliran Akhimullah mencetak nama sebagai penjaring. Beliau mudah menolak hantaran Norsyafiq ke dalam gawang Afrika Selatan yang kosong.

Afrika Selatan kemudiannya merapatkan jurang menerusi pukulan Carlon Mentoor pada minit ke-51. Dua minit kemudian, Fitri Saari mengembalikan kelebihan dua gol The Speedy Tigers.

Afrika Selatan terus berusaha merapatkan jurang gol tetapi keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia akan berentap dengan Wales untuk penentuan tempat kelima dan keenam.

Wales mara ke penentuan tempat kelima/keenam apabila menewaskan Jepun 6-4 dalam satu lagi aksi crossover. Penentuan tempat kelima/keenam akan diadakan pada 21 Jun.