Malaysia terpaksa akur terlepas tiket ke separuh akhir Piala Negara-Negara 2025 meskipun meraih kemenangan ke atas Jepun pada Rabu.
Pertembungan yang begitu penting buat skuad hoki Malaysia dengan hanya kemenangan ke atas Jepun mampu membawa The Speedy Tigers ke separuh akhir Piala Negara-Negara ini.
Tiada perubahan yang dilakukan dalam senarai kesebelasan utama Malaysia bagi aksi bertemu Jepun ini dengan Marhan Jalil terus menggalas tugas sebagai ketua pasukan negara.
Gol pertama perlawanan berjaya dicipta oleh skuad Malaysia menerusi tolakan tenang Norsyafiq Sumantri berpunca dari gerakan solo oleh pemain tengah, Fitri Saari pada minit ke-11.
Azrai Aizad menambah kelebihan untuk pasukan kebangsaan dengan jaringan kedua pada minit ke-20 hasil gerakan cantik di dalam kotak D sebelum mudah mengatasi penjaga gawang Jepun.
Separuh masa pertama tamat, Jepun 0-2 Malaysia.
Kembali dari rehat, intensiti permainan mula meningkat ketika mana Jepun tampak rancak mengatur serangan ke arah kubu Malaysia namun Hafizuddin Othman bertindak cekap di pintu gol.
Usaha Jepun akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-56 apabila Koji Yamasaki bijak melepasi kawalan pemain negara sebelum mudah menolak bola ke dalam gawang Malaysia.
Aksi tamat, Jepun 1-2 Malaysia.
Walaupun Malaysia mencatat kemenangan ke atas Jepun, namun The Speedy Tigers terpaksa akur terlepas tiket ke separuh setelah Pakistan memiliki kelebihan jaringan.