Piala Negara-Negara: New Zealand Atasi Tentangan Sengit Malaysia
UltraSukan
Hokita

Malaysia berdepan tugas sukar mara ke peringkat separuh akhir Piala Negara-Negara apabila tewas kepada New Zealand dalam aksi kedua Kumpulan B.

The Black Sticks berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Jepun 2-1. The Speedy Tigers pula memburu kemenangan selepas mengikat Pakistan 3-3.

Gandingan Azrai Azad Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri dan Akhimullah Anuar Esook terus menjadi pilihan Sarjit Singh. Sam Hiha diberi tugas merobek gawang negara yang dikawal Hafizuddin Othman.

Sebaik perlawanan bermula, New Zealand berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Hiha dan Scott Boyde.

Situasi ini memaksa barisan pertahanan Malaysia diketuai kapten, Marhan Abdul Jalil bekerja keras menafikan serangan pantas yang digerakkan The Black Sticks.

The Speedy Tigers turut memberi tekanan kepada pihak lawan menerusi gandingan Azrai Azad, Norsyafiq dan Akhimullah.

Hasilnya, Malaysia mendahului pada minit ke-17 menerusi Akhimullah. Penyerang berusia 25 tahun itu tenang menguis bola melepasi penjaga gol The Black Sticks, Dominic Dixon.

New Zealand berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, The Black Sticks yang dibimbing Greg Nicol terus berdepan tekanan diasak skuad negara.

Malaysia kemudiannya dianugerahkan penalti stroke pada minit ke-37. Penalti tersebut mudah disempurnakan Fitri Saari yang menewaskan Dixon.

Penyokong The Speedy Tigers di Stadium Hoki Bukit Jalil makin ceria apabila Azrai Azad pula menyumbat gol ketiga seminit selepas itu.

New Zealand kemudiannya bangkit mengejar dan menyumbat tiga gol dalam tempoh dua minit. Finn Ward, Simon Yorston dan Sean Findlay mencetak nama sebagai penjaring.

Ward kemudiannya menyumbat gol kemenangan buat The Black Sticks pada minit ke-48. Keputusan 4-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia kini di tangga ketiga Kumpulan B dengan satu mata. New Zealand merampas semula kedudukan pertama kumpulan dengan enam mata.

Kini, Malaysia perlu mengharapkan New Zealand menewaskan Pakistan pada 18 Jun. Pada masa sama, mereka juga perlu menang ke atas Jepun pada hari sama jika mahu mara ke separuh akhir.