Piala Sultan Azlan Shah: Misi Dalam Dilema Malaysia Pertahankan Kejuaraan
UltraSukan
MHC
Advertisements

Kegusaran mula timbul buat skuad hoki Malaysia menjelang aksi pembuka tirai Piala Sultan Azlan Shah 2024.

Kerisauan ini mula diluahkan oleh bekas jurulatih skuad kebangsaan, Dharma Raj Abdullah mengenai tahap kemampuan pasukan negara untuk mempertahanan kejuaraan yang dimenangi edisi lalu dengan hanya dibarisi empat pemain senior.

Menurut Dharma, rombakan drastik dalam senarai pemain ke kem kebangsaan tempoh hari akan memberikan tugas yang sukar dan mencabar buat barisan pemain yang rata-rata masih muda.

Advertisements

”Yang pertama, saya rasakan kalau perubahan yang drastik apabila hanya tinggal empat pemain (senior) itu boleh berlaku kalau katakan kita mempunyai barisan pemain muda yang betul-betul bagus dan bersedia untuk mengambil alih tempat pemain-pemain senior,” katanya kepada Astro Arena.

”Akan tetapi menurut saya, saya tidak melihat pemain-pemain junior yang beraksi di dua edisi Piala Dunia Remaja sebelum ini menunjukkan pemain-pemain yang berkualiti seperti itu.”

Selain faktor dibarisi pemain yang muda, jurulatih berusia 55 tahun ini turut melihat saingan dari negara lain bakal menjadi cabaran buat Malaysia mempertahankan kejuaraan lalu.

Advertisements

Tambahnya, New Zealand akan hadir dengan barisan terbaik mereka bagi persiapan ke Sukan Olimpik manakala negara-negara lain juga berada dalam situasi yang sama seperti Malaysia iaitu memberi pendedahan kepada pemain muda baharu.

”Saya rasa (keputusan) mempertaruhkan hanya empat pemain senior dan pemain muda yang belum boleh mengambil alih tempat pemain senior itu, untuk saya itu adalah situasi yang sangat sukar,” tambah beliau yang pernah membimbing skuad negara sebelum ini.

”Saya rasa untuk pertahan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah itu sedikit susah sebab New Zealand akan membawa barisan Olimpik mereka memandangkan Sukan Olimpik semakin hampir dan New Zealand sahaja pasukan yang layak ke Sukan Olimpik yang bertanding di Piala Sultan Azlan Shah.”

Advertisements

“Selain New Zealand, pasukan lain seperti Korea Selatan, Jepun dan Pakistan juga berada dalam fasa yang sama iaitu membentuk pasukan baharu dengan memasukkan beberapa pemain muda bagi cabaran akan datang,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, ketua jurulatih negara, Sarjit Singh mengumumkan 30 pemain yang dibarisi majoriti pemain muda setelah menjalani sesi pemilihan skuad Speedy Tigers yang bermula pada 19 Mac yang lalu.

Daripada 30 pemain ini, hanya 18 pemain sahaja bakal disenaraikan untuk menyertai kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) yang akan berlangsung di Ipoh pada 4 hingga 11 Mei depan.

Advertisements

Ujian pertama buat Sarjit bersama skuad kebangsaan akan bermula dengan tugas mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah yang turut disertai New Zealand, Pakistan, Jepun, Korea Selatan dan Kanada.

Skuad hoki negara bakal turun dalam aksi pertama berdepan Pakistan pada 4 Mei hadapan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram