Piala Wanita AFF: Malaysia Sasar 3 Pasukan Terbaik
MakanBola
Malayan Tigress

Skuad wanita Malaysia mensasarkan tiga pasukan terbaik untuk saingan Piala Wanita AFF 2026.

Sasaran itu didedahkan jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli dalam sidang media praperlawanan kejohanan yang diadakan pada Khamis.

Bekas jurulatih Arema FC itu melihat posisi tiga pasukan terbaik boleh dicapai oleh skuad negara. Ini kerana jika berjaya berada di posisi itu, Malaysia akan layak secara automatik ke Kejuaraan Wanita AFF 2026.

“Idea kita ialah layak (sebagai tiga pasukan terbaik ke Kejuaraan Wanita AFF) selepas separuh akhir (Piala Wanita AFF),” katanya.

Cornelli turut berharap barisan anak buahnya dapat memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri. Ini kerana prestasi cemerlang Malayan Tigress mampu memberi impak positif kepada bola sepak wanita negara.

“Kita ada peluang ini (beraksi di gelanggang sendiri). Saya bercakap dengan pemain sepanjang masa ini peluang terbaik untuk menyerlahkan pasukan wanita (negara).

“Untuk menambah baik liga (Liga Wanita Nasional (LWN)) dan menambah baik belanjawan (pasukan). Jika anda menunjukkan prestasi baik, anda menjadi contoh kepada pemain baharu untuk bermain,” tambahnya.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan A Piala Wanita AFF dengan menentang Laos pada 10 Julai ini.