Komen pempengaruh video terkenal, IShowSpeed tentang siapa tiga calon yang akan memenangi Ballon d’Or membuatkan bekas bintang Manchester United, Paul Pogba terkejut.
Ini kerana salah seorang calon yang dicanang Speed yang berpotensi memenangi Ballon d’Or ialah orang besi The Red Devils, Harry Maguire.
Hal ini dinyatakan pemilik nama sebenar Darren Watkins itu semasa Pogba menjadi tetamu program YouTube beliau baru-baru ini.
“Baik, saya akan pilih Lamine (Yamal), (Ousmane) Dembele dan Harry Maguire. Salah seorang daripada mereka akan memenangi Ballon d’Or, senang saja,” katanya seperti dilaporkan SportBible.
Sebaik mendengar jawapan tersebut, Pogba terkejut sebelum tersenyum mendengar nama bekas rakan sepasukannya.
Pogba merekodkan 233 penampilan, 39 gol dan 51 bantuan gol untuk United dari 2016 hingga 2022. Beliau kemudiannya menyertai Juventus sebelum berdepan penggantungan akibat kes dadah.
Selepas berjaya merayu kes beliau, penggantungan Pogba berakhir pada Mac lalu. Pemain tengah berusia 32 tahun itu kemudiannya meninggalkan Juve sebelum menyertai AS Monaco sebagai ejen bebas.