Kedah mengalami kekalahan kedua dalam program pra-musim mereka di Turkiye semalam. Kali ini, mereka tunduk 2-0 kepada kelab Kazakhstan, Shakhter Karagandy.
Sebaik sepak mula, anak-anak buah Nafuzi Zain diasak oleh pihak lawan. Ini disebabkan majoriti pemain tempatan diturunkan dalam aksi menentang The Miners bersama dua awang import, Jonathan Balotelli dan Alan Robertson.
Kelebihan ini dimanfaatkan pihak lawan dengan Shakhter mendahului menerusi sepakan penalti pada minit ke-23. Kedah cuba bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Babak kedua menyaksikan skuad Kenari cuba memburu gol penyamaan. Tetapi mereka dibolosi buat kali kedua pada minit ke-75 menerusi satu rembatan kencang menewaskan penjaga gol muda, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Tetapi bagi Nafuzi, inilah medan terbaik bagi para pemain tempatan termasuk pemain-pemain muda menimba pengalaman.
Kedah bakal berdepan satu lagi kelab Kazakhstan, FC Maktaaral pada 12 Februari. Ini disusuli dengan perlawanan terakhir menentang kelab Ukraine, Metalist Kharkhiv pada 14 Februari sebelum pulang ke tanah air.