Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan semangat juang yang tinggi bagi mengikat wakil dari Timur Tengah, Qatar SC dalam perlawanan pra-musim di Sepanyol pada awal pagi Jumaat.
Keputusan seri ke-4 berturut-turut dicatatkan oleh JDT dalam kempen pra-musim di Sepanyol apabila terikat 2-2 berdepan Qatar SC pada awal pagi Jumaat dengan Brad Tapp berjaya muncul wira Harimau Selatan hasil gol penyamaan.
Bekas pertahanan Central Coast Mariners itu menjaringkan gol pada minit ke-90 untuk membantu JDT mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri sekali gus menafikan hasrat Qatar SC bagi mencatat kemenangan pada aksi ini.
Terdahulu, gol pembukaan JDT berjaya disumbangkan oleh Shahab Zahedi pada minit ke-40, yang juga jaringan peribadi kedua penyerang kelahiran Iran itu bersama pasukan sejak tiba di Sepanyol untuk kem pra-musim ini.
Daripada 7 perlawanan yang diharungi di Sepanyol ini, JDT sudah berhaya merekodkan satu kemenangan, 5 kali seri dan satu kekalahan dengan lawan terakhir menanti skuad Harimau Selatan adalah FC Cartagena pada 31 Julai waktu tempatan.
Selain Qatar SC ini, JDT juga mencatatkan keputusan seri berdepan kelab-kelab handalan seperti Rangers yang beraksi di liga divisyen satu Scotland serta 3 pasukan dari Sepanyol iaitu Elche CF, UD Castellonense dan AFE.