Pasukan gergasi Man City gagal merapatkan jurang dengan Arsenal selepas ditewaskan Brentford 1-2 di Stadium Etihad.
Citizens hampir ketinggalan selepas Ederson dua kali menafikan percubaan Rico Henry dan Ivan Toney pada minit keenam.
Permainan City yang tidak tersusun akhirnya membawa padah apabila Toney menanduk gol menewaskan Ederson pada minit ke-16.
Citizens kemudiannya naik angin apabila rayuan penalti mereka pada minit ke-26 dan 28 dua kali ditolak oleh pengadil selepas diperiksa oleh VAR.
City terus mengasak Bees bagi mencari gol penyamaan. Hasilnya, rembatan voli kencang Phil Foden menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-46.
Selepas rehat, City terus mengasak Brentford bagi mendapatkan gol kemenangan dan tiga mata penuh.
Tetapi Bees sekali lagi hampir meraih gol kedua apabila Aymeric Laporte berjaya menyekat hantaran Henry daripada disudahkan Toney pada minit ke-71.
Kesibukan City memburu gol dihukum Brentford dengan gol kemenangan Toney pada minit ke-97. Keputusan 1-2 kekal sehingga wisel penamat.
Dengan keputusan ini, Citizens kekal di tempat kedua di belakang Arsenal menjelang rehat EPL bersempena Piala Dunia 2022 di Qatar.
Man City akan menentang Leeds United di Elland Road pada 29 Disember. Sementara Brentford pula menerima kunjungan Tottenham Hotspur pada 26 Disember.