Arsenal merampas kembali takhta EPL selepas menewaskan musuh setempat London, Chelsea di Stamford Bridge.
Separuh masa pertama menyaksikan Gunners mendominasi perlawanan dengan Blues lebih banyak bertahan dan mencari peluang untuk serangan balas.
Chelsea hampir mendahului perlawanan menerusi hantaran mengelirukan Kai Havertz pada minit ketujuh tetapi tidak mengenai sasaran. Kedudukan seri 0-0 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan. Akhirnya, Gunners mendahului Blues pada minit ke-63 menerusi tolakan mudah Gabriel hasil sepakan sudut Bukayo Saka.
Dengan keputusan ini, Arsenal kembali mengetuai EPL dengan kelebihan dua mata di hadapan Manchester City.
Gunners akan bertandang ke Molineux untuk berdepan Wolverhampton Wanderers pada 13 November. Sementara Chelsea pula berdepan Newcastle United di St James Park pada hari yang sama.