Liverpool meneruskan rekod empat perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan selepas mengalahkan Southampton 3-1 di Anfield.
Reds terlebih dahulu di hadapan pada minit keenam menerusi Roberto Firmino selepas menyudahkan umpanan Andrew Robertson.
Bagaimanapun, tiga minit selepas itu, Saints bangkit mengikat Liverpool menerusi tandukan rakan senegara Robertson, Che Adams selepas mendapat hantaran James Ward-Prowse.
Tetapi Darwin Nunez kembali meletakkan Reds di hadapan menerusi tolakan mudah pada minit ke-21. Penyerang Uruguay itu kemudiannya menyumbat gol ketiga Reds empat minit sebelum rehat.
Selepas rehat, Liverpool terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan. Tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Perlawanan hari ini amat istimewa buat pemain gantian James Milner kerana membuat penampilan ke-600 dalam liga.
Dengan kemenangan ini, Liverpool memintas Chelsea untuk menduduki tangga ketujuh EPL. EPL bakal berehat seketika bagi memberi laluan kepada Piala Dunia 2022 di Qatar.
Justeru, perlawanan Reds seterusnya dalam liga ialah menentang Aston Villa pada 27 Disember ini. Manakala Saints pula berdepan Brighton pada 26 Disember.