Advertisements
Premier League: Penalti Saat Akhir Hadiahkan Kemenangan Man City Atasi Fulham
EPL
MakanBola
Manchester City

Man City kembali ke puncak EPL selepas berjaya menundukkan Fulham 2-1 di Stadium Etihad.

Separuh masa pertama menyaksikan Citizens banyak mengasak pasukan pelawat tetapi percubaan mereka banyak dinafikan oleh penjaga gol Cottagers, Bernd Leno.

Tetapi mereka berjaya memecah kebuntuan menerusi sepakan kencang Julian Alvarez pada minit ke-16.

Bagaimanapun, tuan rumah bernasib malang apabila Joao Cancelo dibuang padang pada minit ke-26 selepas mengasari Harry Wilson dalam kotak penalti.

Sepakan penalti Fulham berjaya disempurnakan oleh Andreas Pereira pada minit ke-28 untuk gol penyamaan pelawat.

City cuba memburu gol kedua pada separuh masa kedua termasuk memasukkan Erling Haaland dan Phil Foden sebagai pemain gantian.

Tetapi akhirnya pada minit ke-93, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas Kevin de Bruyne dijatuhkan oleh Antonee Robinson.

Haaland tenang menyempurnakan penalti menewaskan Leno untuk gol kemenangan Citizens.

Dengan keputusan ini, City berkongsi mata sama dengan Arsenal iaitu 31 mata. Bagaimanapun, Citizens menjadi pendahulu kerana mempunyai kelebihan jaringan gol yang besar.

Citizens bakal melayan kunjungan Brentford pada 12 November. Sementara Fulham berdepan satu lagi pasukan Manchester, Manchester United pada 14 November.