Advertisements
Program Naturalisasi Liga M3 Bakal Diperkenalkan MFL
Dunia
MakanBola

Amateur Football League (AFL) hari ini mengumumkan saingan Liga M3 bakal distrukturkan bermula musim ini sebagai langkah persediaan menyiapkan pasukan-pasukan amatur kepada semi-pro bermula pada musim 2021.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, sebagai langkah pertama, saingan Liga M3 musim ini akan membenarkan tambahan penyertaan pasukan dari 14 pada musim lalu kepada 20 pasukan secara maksimum yang akan diasingkan kepada dua kumpulan.

Pada musim 2021, hanya 12 pasukan terbaik dan yang memiliki rekod kewangan baik akan dibenarkan beraksi di saingan Liga M3 manakala lapan lagi pasukan akan bersaing di Liga M4.

Empat lagi pasukan terbaik dari saingan Liga M4 pada musim 2020 akan melengkapi jumlah 12 pasukan yang akan bersaing pada 2021.

Manakala liga-liga yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri ataupun Liga Swasta yang diiktiraf oleh AFL akan diselaraskan menjadi M5 bermula tahun 2021.

“Kita perlu memperbaiki struktur Liga M3 kerana AFL mahu memastikan standard liga ini tidak begitu jauh dengan Liga Premier jika mereka dapat dipromosikan pada masa akan datang. Kita mahu pasukan-pasukan lebih bersedia untuk dipromosikan ke Liga Premier nanti.

“Jadi jangkaan kami pada tahun 2021, status Liga M3 bakal menjadi semi pro manakala kelompok pasukan amatur akan bersaing dalam M4,” katanya pada majlis taklimat Liga M3 di Wisma FAM, pada Sabtu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) Dato’ Ab Ghani Hassan turut hadir pada taklimat berkenaan selain 17 wakil pasukan yang akan bertanding di saingan Liga M3.

Dalam pada itu, AFL turut melakukan beberapa penambaikan dengan mencadangkan sebanyak dua atau empat slot pasukan dari Liga M3 (tertakluk kepada kelulusan Malaysian Football League) untuk bertanding dalam Challenge Cup.

Bagi memenuhi hasrat ini, jadual liga AFL dan MFL akan diselaraskan bagi membolehkan pasukan Liga M3 bersaing dalam Challenge Cup.

Kehadiran pasukan daripada Liga M3 dalam Challenge Cup mampu memberikan impak positif kepada pasukan-pasukan ini sebagai pendedahan awal kepada profesional selain mendapat faedah bermain dengan pasukan-pasukan dari Liga Super dan Premier.

Yusoff juga memberikan peringatan kepada kelab Liga M3 bahawa slot pasukan Liga M3 tidak boleh ditukar atau dijual kepada mana- mana pihak.

“Keputusan terakhir berada di tangan AFL untuk menilai, pertimbang sebelum meluluskan slot pasukan Liga M3 kepada pihak yang lain.

“Saya berharap budaya tidak sihat ini dapat dihentikan kerana mana-mana pasukan tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan slot mereka kepada pasukan lain,” katanya.

Satu lagi perubahan dibuat oleh AFL ialah program naturalisasi akan mula diperkenalkan dengan tambahan dua lagi pemain kuota asing mesti berumur antara 18 hingga 20 tahun.

Tujuan program ini diadakan selaras untuk menjayakan program pemain naturalisasi FAM yang boleh diserap ke skuad negara.

Sebelum ini, setiap pasukan Liga M3 dibenarkan mendaftarkan dua pemain asing tanpa sebarang had umur.

Justeru, setiap pasukan Liga M3 kini dibenarkan punyai empat pemain import ( 2 tanpa sebarang had umur+2 pemain umur 18-20 tahun) bagi musim 2020.

Setiap kelab Liga M3 dan Liga M4 juga digalakkan untuk menjadi ahli gabungan persatuan kerana bermula tahun 2021, setiap kelab Liga M3, Liga M4 dan Liga M5 diwajibkan untuk mendapatkan pengiktirafan atau perlu bernaung di bawah persatuan daerah atau negeri.

Related Articles