Selepas berjaya memenangi aksi persahabatan menentang Persiraja Banda Aceh, Selangor bakal diuji oleh satu lagi kelab Indonesia iaitu PSIS Semarang.
Ini selepas kelab Liga 1 Indonesia itu mengumumkan aksi persahabatan dengan Merah Kuning di laman media sosial rasmi mereka hari ini.
Aksi persahabatan ini bakal diadakan di Stadium Jatidiri, Semarang pada 10 September ini. Aksi ini dianggap menarik berikutan posisi kedua-dua pasukan dalam liga masing-masing.
Selangor menghuni tangga kedua Liga Super dengan kedudukan tersebut ialah slot kelayakan ke Piala AFC. Manakala PSIS Semarang pula menduduki tangga kelima Liga 1 Indonesia dengan aspirasi memperbaiki pencapaian tempat ke-13 musim lepas.
Merah Kuning dijangka tampil tanpa beberapa tonggak Harimau Malaya seperti Faisal Halim dan kapten, Brendan Gan. Lantas, Tan Cheng Hoe akan melihat pemain-pemain import seperti Ayron del Valle, Richmond Boakye dan Yohandry Orozco sebagai tonggak utama pasukan.
Manakala Naga Warak pula turun tanpa kelibat orang besi mereka, Wahyu Prasetyo atau Hulk, Alfeandra Dewangga dan penyerang Timor Leste, Paulo Gali. Justeru, sandaran gol PSIS dijangka digalas oleh Taisei Marukawa dan Carlos Fortes.
Menariknya, ramai bekas pemain import Selangor dari Indonesia pernah mewakili Naga Warak dalam karier mereka. Antara yang pernah menyarung jersi pasukan itu ialah Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Andik Vermansyah.
Perlawanan ujian ini diharap dapat membantu kedua-dua pasukan mengekalkan momentum dalam liga masing-masing apabila kalendar antarabangsa FIFA bulan ini tamat.