PSM Makassar Dinobatkan Juara Liga 1 Indonesia
MakanBola
@theaseanball

PSM Makassar menamatkan kempen Liga 1 Indonesia musim 2022/2023 dengan menggondol kejuaraan liga musim ini selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Borneo FC. Lebih manis, ini merupakan kejuaraan pertama Juku Eja sejak musim 1999/2000.

Dua gol disumbang oleh pemain sayap Indonesia, Yakob Sayuri pada minit ke-12 dan 31. Satu lagi gol disumbang oleh kapten dan pemain tengah Belanda, Wiljan Pluim pada minit ke-60.

Kemenangan ini memastikan Juku Eja menamatkan musim dengan 75 mata – sama dengan rekod mata yang dikumpul Bali United semasa bergelar juara liga musim lepas. PSM Makassar turut merekodkan kekalahan paling sedikit musim ini dengan tiga kekalahan.

Disebabkan kejayaan mereka tidak diduga ini, tidak hairanlah beberapa anugerah berprestij Liga 1 Indonesia turut dianugerahkan kepada beberapa individu. Pluim yang menamatkan musim dengan 10 gol dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga 1.

Sementara pengendali Juku Eja, Bernardo Tavares dari Portugal pula dipilih sebagai Jurulatih Terbaik Liga 1. Tavares dipilih kerana berupaya membina pasukan terdiri daripada gabungan pemain senior dan muda yang berbakat.

Selepas sebelum ini dikecewakan KL City di final Zon Asean Piala AFC tahun lepas, siapa sangka kekecewaan itu digunakan sebagai pembakar motivasi untuk kempen kejuaraan liga mereka musim ini.