Qatar 2022: Penyokong Menunaikan Solat Jumaat Di Luar Stadium
Dunia
@nasirmagan
Advertisements

Menjadi kebiasaan setiap hari Jumaat, umat Islam akan mengerjakan solat Jumaat. Di Qatar, bersempena penganjuran Piala Dunia 2022, jawatankuasa penganjur kejohanan telah menyediakan ruang solat khas bagi membolehkan para penonton beragama Islam dapat menunaikan kewajipan mereka pada hari tersebut.

Ini dapat dilihat di luar Stadium Al-Thumama, lokasi perlawanan kedua Kumpulan A membabitkan Qatar dengan Senegal semalam. Disebabkan perlawanan berlangsung beberapa jam selepas itu, para penyokong mengambil peluang menunaikan solat Jumaat di ruang solat khas yang disediakan tidak jauh dari stadium.

Imej sebegini mungkin nampak asing bagi para penyokong bukan beragama Islam terutama dari Barat. Tetapi bagi para penyokong Muslim yang berada di situ, Piala Dunia 2022 dianggap istimewa. Ini kerana ini memudahkan mereka dalam pelbagai segi seperti surau dalam setiap stadium, makanan halal mudah didapati dan pengharaman jualan arak kepada penyokong di stadium.

Advertisements

Bagi Yousef al-Idbari, seorang penyokong dari Maghribi, pengalaman berada di Qatar sepanjang Piala Dunia 2022 dianggap istimewa. Semasa ditemubual agensi berita Reuters, dia berkata, “Saya datang ke sebuah negara Islam untuk menunaikan solat Jumaat. Inilah perkara yang membuatkan saya gembira sepanjang kejohanan.”

Sementara bagi Ridwaan Goolam Hoosen dari Afrika Selatan pula, selalunya dia perlu keluar dari stadium untuk menunaikan kewajipan solat. Disebabkan hal itu, kadang-kadang Ridwaan terlepas peluang meraikan gol atau detik-detik penting perlawanan. Ini termasuklah semasa Afrika Selatan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2010.

Atas sebab itu, pengalaman di Qatar kali ini disifatkan istimewa dan lain dari yang lain. Dia berkata, “Anda keluar dan anda terlepas meraikan gol atau detik pemain dibuang padang. Tetapi Piala Dunia tahun ini bagaikan dicipta khusus untuk saya, sesuai dan berkesan untuk saya. Dan ini merupakan pengalaman pertama yang seumpamanya yang pernah dirasai.”

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram