Persiapan skuad Malaysia bawah 16 tahun (B-16) menghadapi Piala Asia B-17 dijangka lebih ampuh. Ini selepas FAM merancang menghantar pasukan bimbingan Osmera Omaro ke Qatar selama sebulan.
Mesyuarat Eksekutif FAM yang dipengerusikan Presiden Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin semalam secara dasarnya bersetuju menghantar pasukan B-16 berlatih di sana selama sebulan.
Bagaimanapun, mereka masih menunggu lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA). Ini turut disahkan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Semasa ditemubual media, beliau berkata, “Pasukan B-16 berkemungkinan akan berlatih di Qatar pada Februari tahun hadapan.
“Kami bangga dengan pencapaian mereka semasa kelayakan dan percaya pasukan ini boleh pergi jauh. Kami percaya latihan ini akan memberi manfaat kepada mereka.”
Sebelum ini, pengurus pasukan Christopher Raj memberitahu pasukan B-16 merancang untuk berlatih seawal bulan Januari bagi menghadapi saingan Piala Asia B-17.
Ini bagi memastikan Malaysia menjadi satu pasukan ampuh dan bukan sekadar sasaran mudah pihak lawan.
Piala Asia B-17 menawarkan empat tiket ke Piala Dunia B-17 di Peru hujung tahun depan. Selain Malaysia, tiga lagi wakil ASEAN ke kejohanan ini ialah Vietnam, Thailand dan Laos.
12 pasukan lagi yang layak ialah Jepun, Tajikistan, Korea Selatan, Australia, India, Iran, Yaman, Afghanistan, Arab Saudi, China, Uzbekistan dan Qatar. Bagaimanapun, AFC belum mengumumkan negara mana yang bakal menggantikan Bahrain sebagai tuan rumah.