Advertisement
Quang Hai Bakal Tinggalkan Perancis, Sertai Liga Thailand?
Asia Tenggara
MakanBola
Pau FC

Selepas disingkirkan ke pasukan Pau FC B, ramai merasakan pengembaraan pemain tengah Vietnam, Nguyen Quang Hai di Perancis akan berakhir. Justeru, tidak hairanlah salah satu khabar angin perpindahan membabitkannya ialah perpindahan ke Thai League 1.

Khabar angin ini timbul susulan interaksi antara ejen Quang Hai, Michele Donato Fersini dengan seorang peminat berkenaan destinasi terbaru bekas pemain sayap Hanoi FC itu dalam satu hantaran di Facebook.

Sebaik mengetahui gambar yang dimuatnaik Fersini ialah gambar lawatan keluarganya sekitar Pau, peminat tersebut meneka ejen itu telah diarah mencari kelab baru untuk kliennya itu.

“Anda pergi untuk memindahkan Quang Hai kembali ke pasukan Vietnam, kan?” tanya peminat tersebut. Fersini kemudiannya menjawab, “Tak, saya menunggu satu cadangan yang baik dari Thailand.”

Ini membuatkan penyokong tersebut mengajukan soalan provokasi,”Thai League terlalu kecil untuk Messi Vietnam.” Itu mendorongnya membalas, “Ia bukan liga kecil, kita lihat masa depan bagaimana.”

Tidak diketahui sama ada Fersini hanya bergurau atau menceritakan perkara sebenar. Tetapi yang pasti, khabar angin ini turut diperkuatkan dengan tindakan penyiar rasmi Thai League di Vietnam, VTVCab mempromosikan siaran liga itu dengan imej Quang Hai digunakan.

Begitupun, tidak diketahui sama ada pemain tengah Pau itu berminat dengan cadangan tersebut atau tidak. Ini kerana Quang Hai masih mempunyai baki kontrak setahun dengan kelab Ligue 2 itu.

Quang Hai merekodkan 14 penampilan dan satu gol bersama pasukan utama Pau musim ini. Bagaimanapun, pada 2023, pemain tengah Vietnam itu ditendang ke skuad B dan hanya merekodkan lima penampilan bersama mereka.