Kapten Penang FC, Rafael Vitor sah tidak bersama pasukan itu pada musim hadapan.
Ini selepas pengurusan Sang Harimau Kumbang memaklumkan Vitor tidak lagi bersama pasukan utara tanah air itu.
Sejak menyertai Penang pada 2020, bek tengah Brazil itu menjadi orang besi yang boleh diharap untuk mengawal barisan pertahanan pasukan itu.
Ini terbukti apabila Vitor merekodkan 119 penampilan dalam semua kejohanan dan 22 gol buat Sang Harimau Kumbang.
“Musim hadapan, Rafael Vitor tidak lagi akan bersama pasukan Penang FC. Berat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada seorang pemain yang telah menjadi sebahagian daripada jiwa kelab ini.
“Namun, kenangan dan jasa yang ditinggalkan akan terus hidup dalam sejarah dan sanubari setiap insan dan penyokong Harimau Kumbang,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pengumuman ini menyaksikan Penang bakal menerima kapten baru untuk memimpin pasukan mengharungi musim 2025/26.