Penjaga gawang muda Terengganu, Rahadiazli Rahalim kini dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital semasa perlawanan Liga Super di antara pasukan Terengganu dan Melaka United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.
Insiden minit ke-46 memperlihatkan detik-detik cemas selepas Rahadiazli Rahim bertembung dengan pemain Melaka United, Harith Naem.
Rahadiazli lantas dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan dan hari ini dikhabarkan penjaga gawang berusia 21 tahun ini semakin stabil.
“Alhamdulillah, pasukan (Terengganu) menang dan terima kasih yang mendoakan. InsyaAllah saya baik-baik sahaja,” ujar Rahadiazli di Instagram Story.
Menerusi kemas kini Pengurus Terengganu, Haji Fadhil Wahab turut memperlihatkan Rahadiazli semakin stabil dan keadaannya terkawal.
“Alhamdulillah.. Abey mulai sedar.. Semoga cepat sembuh. Well done guys. Tahniah kemenangan malam ini,” tulis Haji Fadhil di Facebook.
Dalam perlawanan Liga Super Terengganu menentang Melaka United, skuad Nafuzi Zain berjaya membenam cabaran Melaka United dengan jaringan besar 5-0 sekaligus menjadi tonik tambahan sebelum aksi Perlawanan Akhir Piala FA 2022 yang dijadualkan berlangsung 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.