Ramalan awal pertahanan kebangsaan, Matthew Davies jadi kenyataan apabila Malaysia berjaya mempamerkan persembahan memukau dalam dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 baru-baru ini.
Skuad Harimau Malaya mencatat keputusan positif apabila seri menentang Syria 2-2 dan berjaya mengikat pasukan China dengan keputusan 1-1.
Ketika sesi latihan bersama skuad kebangsaan tempoh hari, Matt Davies telah ditanya adakah Malaysia akan turun dan bermain secara bertahan.
Walaupun Matt akui aksi berdepan China dan Syria merupakan perlawanan yang sukar, namun beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak akan beraksi secara bertahan.
“Saya kira pertahanan adalah salah satu bahagian yang penting tapi semestinya kita bukan ke sana untuk beraksi dengan ultra defensive, itu bukan cara kami sebagai pasukan bola sepak.”
“Ya mungkin kami memberi tumpuan sedikit di posisi pertahanan yang kita lemah, tetapi itu tidak bermakna kita pergi ke sana dan bermain secara bertahan,” ujar Matt Davies.
Melihat kepada statistik perlawanan China menentang Malaysia pada kelmarin, Malaysia telah membuat sebanyak 11 percubaan dengan dua percubaan tepat berjaya dilepaskan anak buah Kim Pan-gon.
Sepanjang 90 minit permainan, Harimau Malaya mencatat sebanyak 273 hantaran dan berjaya menembusi gawang China menerusi ledakan Faisal Abdul Halim.
Ketika menentang Syria, jaringan Darren Lok dan Akhyar Rashid memastikan Malaysia bangkit untuk merantai pasukan yang berada di ranking 94 dunia ini.
Dua keputusan seri yang dicatat Harimau Malaya dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 ini sudah pasti bakal menjadi pembakar semangat buat Malaysia sebelum beraksi di kejohanan Pesta Bola Merdeka pada Oktober.
Selain meningkatkan ranking pasukan negara, aksi menentang lawan yang berada di ranking yang lebih tinggi ini juga merupakan persediaan terbaik buat kem kebangsaan sebelum beraksi di pentas Piala Asia 2024 kelak.