Advertising
Ranking BWF: Aaron Chia-Soh Wooi Yik ‘Rampas’ Tangga Ke-4 Dunia
UltraSukan
BWF

Prestasi konsisten beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya melonjakkan kedudukan mereka dalam ranking BWF.

Menerusi kemas kini ranking terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan pada Selasa, pasangan negara ini kini berada di tangga keempat dunia dengan mengumpul 93215 mata.

Ad

Aaron-Wooi Yik berjaya memintas kedudukan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk menolak beregu senior dari Denmark itu ke tempat kelima dunia dengan 93053 mata.

Ad

Peningkatan satu anak tangga ini hasil prestasi cemerlang ditampilkan bekas juara dunia itu dengan mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Ningbo yang lalu dan juga bergelar naib juara All England 2024.

Selain itu, Aaron dan Wooi Yik juga merupakan antara tonggak utama skuad badminton negara mencatatkan sejarah layak ke separuh akhir Thomas Cup selepas 8 tahun pada minggu lalu.

Ad

Beregu utama negara ini diturunkan bersama dalam empat perlawanan sepanjang kempen Thomas Cup dan berjaya mencatatkan tiga kemenangan termasuklah ke atas pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi separuh akhir.

Ad

Dalam perkembangan sama, tiga lagi pasangan beregu lelaki Malaysia iaitu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengekalkan kedudukan mereka dalam kelompok 20 terbaik dunia.

Ad

Ranking beregu lelaki dunia tetap diungguli oleh pasangan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang sambil diikuti rapat juara dunia, Kang Minhyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan di tempat kedua dan beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy di tempat ketiga.

Kalendar BWF menyaksikan Thailand bakal menjadi destinasi seterusnya buat para pemain terbaik dunia dengan Thailand Open bakal membuka tirai pada 14 Mei sebelum tumpuan para peminat akan beralih ke Malaysia Masters seminggu kemudian.