Ranking FIFA Malaysia: Malaysia berpeluang untuk memperbaiki kedudukan dan menghampiri tangga ke-120 terbaik dunia buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun.
Pasukan bimbingan Kim Pan-gon bakal menghadapi dua aksi persahabatan di Chengdu, China pada 6 dan 9 September menentang Syria dan juga tuan rumah.
Selepas Malaysia menjuarai kejuaraan serantau, Piala AFF 2010, Malaysia gagal mempamerkan konsistensi kedudukan ranking FIFA dan ditinggalkan jauh oleh Filipina, Vietnam dan Thailand.
Mata semasa Malaysia kini adalah 1091.57 dan jika berjaya mencatatkan keputusan positif ke atas Syria dan China, Malaysia mampu memperoleh mata maksimum sebanyak 13.34 mata sekaligus memperoleh mata baharu sebanyak 1104.91.
Jumlah mata terkini itu menyaksikan Malaysia berpeluang untuk menghampiri kelompok 120 terbaik dunia iaitu di tangga ke-133 dunia.
Kedudukan ini juga dipengaruhi oleh Filipina yang bakal berdepan Taiwan dan Afghanistan. Sekiranya tewas kedua-dua perlawanan, mereka akan kehilangan -10.08 mata dan mengumpul mata baharu sebanyak 1085.58.
Sementara itu, Antigua dan Barbuda yang kini di atas Malaysia bakal berhadapan Guyana pada 10 September dan sekiranya mereka gagal memperoleh keputusan positif, Malaysia berpeluang naik ke tangga ke-132 dunia berbanding sekarang (136).
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 125 terbaik dunia adalah pada tahun 2001 iaitu di tangga ke-128 dunia manakala kedudukan terbaik kelompok tersebut adalah pada tahun 2004 (122 dunia).
Malaysia dijadualkan berdepan Syria pada 6 September 2023 jam 5 petang disusuli aksi menentang China pada 9 September 2023 jam 7:35 malam di Stadium Chengdong.