Teka-teki siapa penyiar rasmi Liga Malaysia (Liga M) musim 2023 menggantikan UniFi akhirnya terjawab. Ini selepas MFL mengumumkan Astro dan RTM sebagai penyiar rasmi liga musim ini.
Pembabitan Astro dan RTM dijangka menjanjikan liputan yang lebih menyeluruh termasuk siaran perlawanan sekaligus dapat memuaskan para penyokong yang setia mengikuti perkembangan Liga M.
Semua perlawanan yang akan disiarkan oleh Astro dalam definisi tinggi (HD) meliputi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Semua perlawanan ini boleh ditonton di platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.
Sementara RTM pula akan menyiarkan secara langsung 75 perlawanan Liga Malaysia 2023 merangkumi beberapa saingan termasuk Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Semua perlawanan yang dipilih RTM akan disiarkan menerusi saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik.
Bagi Presiden MFL Dato’ Ab Ghani Hassan, kehadiran Astro dan RTM dijangka menambah kemeriahan Liga Malaysia yang akan bermula pada 24 Februari. Tirai liga akan dibuka menerusi Perlawanan Sumbangsih membabitkan JDT-Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim.
“Saya percaya, dengan sokongan dan komitmen rakan penyiar tempatan, ia bukan hanya demi kepuasan kualiti tontonan peminat-peminat tanah air malah ia dapat meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia yang akhirnya akan memberikan pulangan besar buat pasukan serta pemain,” katanya.
CEO MFL, Stuart Ramalingam menambah gandingan Astro dan RTM sebagai penyiar liga musim ini dapat memenuhi kemahuan para penyokong yang mahukan liputan yang menarik dan menyeluruh.
“MFL percaya dua rakan penyiar ini berkongsi objektif dan fokus mengenai kandungan yang penting jadi kami telah menemui rakan kongsi terbaik untuk membina semula jenama dan impak Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Astro dan RTM dalam bidang penyiaran sukan, kami berharap ia dapat memenuhi jangkaan dan harapan semua peminat-peminat,” katanya.