Rauf Yusoh Kini Presiden MAFA Yang Baru
MakanBola
Ab Rauf Yusoh

Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) mendapat nafas baru menerusi perlantikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai presiden. Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA yang diadakan pada hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden MAFA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi itu memutuskan kedudukan presiden MAFA terkini disandang oleh Rauf. Ini berdasarkan Perlembagaan MAFA di mana lantikan YAB Ketua Menteri Melaka yang baru secara automatik akan menyandang jawatan Presiden MAFA.

MAFA berharap menerusi perlantikan ini, ia mampu memberi nafas baru kepada bola sepak negeri Melaka. Rauf dilantik menggantikan Datuk Wira Nur Azmi Ahmad yang memangku jawatan Presiden MAFA sejak Ogos tahun lepas.

“Pihak Jawatankuasa Eksekutif MAFA mengucapkan setinggi tahniah kepada YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang akan menerajui Persatuan Bola Sepak Melaka bertujuan mengembalikan kegemilangan Bola Sepak Melaka.

“Semoga dengan sentuhan YAB Presiden, Datuk Seri Ab Rauf akan terus membawa bolasepak Melaka ke tahap yang lebih membanggakan demi meletakkan nama negeri Melaka gah dalam sukan nombor satu dunia ini pada masa hadapan,” kata persatuan berkenaan dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Kepimpinan MAFA turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nur Azmi kerana sumbangannya sepanjang bergelar presiden. Ini termasuk menubuhkan pasukan Melaka FC yang kini bersaing dalam Liga M3 musim ini.

“Segala jasa dan sumbangan beliau kepada bola sepak Melaka akan terus diabadikan dalam lipatan bola sepak negeri Melaka sebagai salah seorang presiden persatuan yang kini hampir menginjak usia satu abad penubuhannya pada 1924,” tambahnya.