Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan melihat Sabah FC sebagai pasukan pilihan untuk meraih tempat ketiga Liga Super.
Pilihan itu dibuat beliau selepas melihat peluang tiga pasukan yang mengintai slot tempat ketiga. Selain Sabah, Terengganu FC dan Kuching City FC turut mengintai peluang merampas tempat ketiga.
Razman melihat dari segi baki perlawanan yang bakal dihadapi ketiga-tiga pasukan itu, kelebihan dilihat memihak kepada Sang Badak.
Pada masa sama, beliau turut melihat keputusan aksi Sabah dan Terengganu bakal menentukan siapa yang memiliki pilihan untuk memburu slot tempat ketiga.
“Kalau mengikut jadual (perlawanan), saya memilih Sabah. Tapi masih saya katakan, perlawanan hari ini yang akan menentukan hala tuju mereka,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Aksi Peteh dan Sang Badak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 7 Mac lalu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Sabah mendahului sebanyak dua kali menerusi Stuart Wilkin dan Saddil Ramdani. Walau bagaimanapun, Terengganu bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ismaheel Akinade dan Safawi Rasid.
Keputusan itu menyaksikan Sabah dan Terengganu masing-masing di tempat ketiga dan keempat dengan 36 dan 32 mata.
Selepas ini, Sang Badak bakal berdepan PDRM FC pada 5 April. Peteh pula berdepan Selangor di Stadium MBPJ pada hari yang sama.