Pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid muncul juara La Liga musim 2023/24.
Kejayaan menggondol gelaran juara buat kali ke-36 itu dicapai selepas Barcelona tewas 4-2 kepada Girona semalam.
Sebelumnya, Los Blancos mencipta kemenangan selesa 3-0 ke atas Cadiz. Kemenangan itu memberi tekanan kepada anak buah Xavi untuk memburu kemenangan untuk melewatkan keraian Real Madrid.
Pada awalnya, Barca mendahului 2-1 sehingga rehat separuh masa. Walau bagaimanapun, Girona bangkit pada separuh masa kedua dengan menjaringkan tiga gol.
Kekalahan itu memastikan Los Blancos muncul juara dengan 87 mata, 13 mata di hadapan Girona dengan baki empat perlawanan.
Kejayaan Real Madrid turut dipacu oleh jeneral tengah muda England, Jude Bellingham. Musim ini menyaksikan beliau menyumbat 18 gol daripada 26 perlawanan La Liga.
Bellingham menjadi pemain Inggeris kelima menggondol gelaran juara La Liga. Beliau mengikut jejak langkah Laurie Cunningham (1979–80), Steve McManaman (2000–01 dan 2002–03), David Beckham (2006-07) dan Kieran Trippier (2020-21).
Kejayaan ini dijangka memberi motivasi tambahan kepada Real Madrid apabila berdepan Bayern Munich untuk aksi separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada awal pagi Khamis ini.